Penyelidik UPM bangunkan teknologi grafin untuk lindungi enjin

Penyelidik UPM bangunkan teknologi grafin untuk lindungi enjin

Video link:https://youtu.be/aMTQII5iacE?si=Eo3Kdq7yGrVLcYTA


SERDANG: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan teknologi grafin untuk minyak enjin dengan keupayaan memberi perlindungan menyeluruh pada omboh kenderaan yang menggunakannya, secara melindungi permukaan logam dan mengurangkan pergeseran.

Inovasi yang diberi nama GrafinTok itu, bukan hanya memberi kebaikan dari segi penjimatan kos dan bahan api, malah didakwa berfungsi juga sebagai minyak pelincir aditif yang memanjangkan hayat minyak enjin dan menyejukkan enjin kenderaan.

Ia juga berupaya meningkatkan kecekapan dan kuasa enjin, menghidupkan semula enjin lembap, mengurangkan pelepasan hidrokarbon (HC), karbon monoksida (CO) dan nitrogen monoksida (NO) serta mengurangkan bunyi dan getaran untuk pemanduan yang lebih lancar dan senyap seterusnya menyumbangkan kepada penjimatan penggunaan minyak.

Ketua Penyelidik Jabatan Kimia, Fakulti Sains UPM, Prof Dr Janet Lim Hong Ngee, berkata inovasi itu direka khusus untuk menangani isu pergeseran yang tinggi pada permukaan logam (omboh), sekali gus menjadikannya sebagai minyak enjin aditif yang berbaloi dari segi perlindungan enjin.

Beliau berkata, keupayaan GrafinTok melindungi permukaan antara besi berjaya mengurangkan pergeseran seterusnya meningkatkan kuasa enjin kereta.

Katanya, GrafinTok sesuai digunakan untuk semua jenis kereta di mana pengguna hanya perlu mencampurkannya ke dalam minyak enjin.

"Bagi kereta dengan kapasiti minyak enjin 5 liter ke bawah, hanya satu botol GrafinTok yang mengandungi 120 mililiter (ml) perlu dicampurkan ke dalam minyak enjin, manakala kereta dengan kapasiti 5 liter ke atas pula memerlukan dua botol.

"GrafinTok juga produk yang mesra pengguna kerana dikendalikan secara 'Do It Yourself atau DIY'," katanya pada sidang media Putra Cipta-Inovasi GrafinTok, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Dr Zamberi Sekawi; Pengarah, Putra Science Park UPM, Prof Ir Dr Kamarul Arifin Ahmad; Timbalan Dekan, Pembangunan Dan Jaringan Fakulti Sains, Prof Madya Dr Muskhazli Mustafa; dan Timbalan Pengarah, Bahagian Promosi dan Pengkomersilan Inovasi, Putra Science Park UPM, Prof Madya Dr Wan Nurhayati Wan Ab Rahman.

Dalam pada itu, Janet berkata, antara masalah utama dihadapi pemandu adalah kelesuan kenderaan mereka setelah jarak pemanduan tertentu.

"Justeru, dengan menggunakan GrafinTok, ia membantu menghidupkan semula prestasi enjin, memberikan rasa seperti kereta baru.

"Ini memungkinkan pemanduan yang lebih selesa secara tidak langsung meningkatkan keselamatan," katanya.

Tambah beliau, fokus inovasi ini juga adalah untuk menjadi 'ciptaan hijau' yang menjimatkan perbelanjaan pengguna dengan meningkatkan kelancaran enjin bagi pembakaran petrol yang lebih berkesan.

"Sehingga hari ini, GrafinTok memberi manfaat kepada 75,000 pengguna di seluruh negara.

"Kami menerima maklum balas positif daripada pengguna termasuk enjin kenderaan menjadi lebih senyap dan lancar lepas penggunaannya," katanya.

Katanya, kerjasama dengan pemain industri automotif dalam dan luar negara dialu-alukan bagi membawa produk ini ke peringkat global.

Produk komersil GrafinTok kini dijual oleh syarikat pemula UPM, Go Advanced Solutions Sdn Bhd, dan boleh diperoleh pengguna menerusi platform jualan dalam talian.


Ketua Penyelidik Jabatan Kimia Fakulti Sains UPM, Prof Dr Janet Lim Hong Ngee bersama produk GrafinTok pada sidang media di Putra Science Park. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Ketua Penyelidik Jabatan Kimia Fakulti Sains UPM, Prof Dr Janet Lim Hong Ngee bersama produk GrafinTok pada sidang media di Putra Science Park. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI





相关产品